Make your own free website on Tripod.com
---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Menangani Perubahan

Oleh Haji Sulaiman Haji Osman

---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Perubahan dan Perencanaan

Sama ada kita sedar atau tidak, sama ada kita akui atau sebaliknya, kecanggihan teknologi masa kini yang meliputi media cetak, audio dan video serta penggunaannya secara merata telah memberi kesan perubahan yang ketara kepada cara bertindak, budaya berfikir dan pandangan alam sebahagian besar manusia. Kekuatannya dalam mendominasi persekitaran budaya telah memberi momentum yang besar kepada kadar perubahan sesuatu masyarakat .

Pada ketika ini masyarakat seluruh dunia sedang dihangatkan oleh media mengenai fenomena globalisasi atau persejagatan. Jika ditelusuri dari sudut istilah dan ciptaan idea, Globalisasi merupakan suatu istilah yang diwujudkan untuk menggambarkan fenomena baru yang akan mengubah setiap gerak-geri kita. Sama ada dalam berbudaya, dalam sistem ekonomi dan corak pendidikan alaf baru. John Naisbitt (1994)1 memberi beberapa ciri globalisasi apabila beliau membicarakan "New Rules : A Universal Code of Conduct for the 21st Century" di antaranya ialah, Ekonomi global akan dikawal oleh segolongan kecil manusia.Kegiatan berpolitik setempat atau antarabangsa bertujuan untuk menjaga kepentingan ekonomi dan material melebihi kepentingan sosial, masalah alam sekitar yang semakin parah serta pertimbangan keuntungan melebihi tanggungjawab sosial. Manakala Kenichi Ohmae (1990)2, pula menggariskan beberapa elemen dalam Isu Globalisasi iaitu kebebasan bertindak individu dianggap sebagai penentu darjah keadilan sosial, pembinaan negara bangsa bukan lagi menjadi agenda utama utuk dibincangkan tetapi institusi, organisasi atau syarikat yang mampu untuk memberikan pulangan pendapatan dan wang kepada kelompok atau individu itu lebih penting.

Menurut Siddiq Fadhil(1992)3, tulisan - tulisan dan ramalan yang bercorak futuristik itu rata-rata mengemukakan amaran-amaran tentang masalah-masalah yang akan dihadapi oleh manusia pada masa mendatang, walaubagaimanapun memang menjadi ciri bangsa berdaya maju yang ingin mencipta keunggulan di masa depan perlu mempunyai orientasi memandang jauh ke hadapan. Pengertian masa depan bagi umat Islam sebenarnya jauh melampaui batas konsepsi masa depan golongan sekularis. Masa depan umat Islam tidak hanya terbatas dalam kehidupan duniawi kini, tetapi menjangkau jauh hingga ke alam ukhrawi.

Kepentingan menelaah masa depan dan seterusnya membuat perancangan untuk menghadapinya diperlihatkan oleh Al-Quran menerusi kisah Yusuf a.s. yang dapat meramalkan masa depan ekonomi negara.

Perancangan Strategik bukanlah sesuatu yang baru dalam dunia perniagaan dan perindustrian barat. Menurut Ansoff (1980)4 ianya telah diperkenalkan pada awal abad ke 20, apabila bermulanya pendekatan meramal belanjawan bagi urusan perdagangan masa hadapan diperkenalkan. Strategik atau strategi menurut Zainal (1998)5 berasal dari bahasa Greek iaitu Strategos yang membawa maksud "Fungsi Seseorang Jeneral ".Dalam ketenteraan istilah ini digunakan sebagai tindakan yang diambil oleh ketua tentera untuk sentiasa berada dalam keadaan mengatasi musuh. Manakala dalam dunia korperat, perkataan strategi digunakan bukan sahaja untuk tindakan reaktif tetapi juga tindakan proaktif dan menjadi pedoman yang perlu dibuat dengan cepat untuk mencapai kedudukan yang lebih baik daripada pesaing.

Bagi Gerakan Islam, perancangan strategik bukan sesuatu seruan yang baru, kerana sebagai pewaris kepada risalah Nabawi, untuk menyampaikan dan mendaulatkan syiar Islam menuntut kita mempersiapkan segala kekuatan. Sama ada kekuatan berbentuk jasmaniah, ruhaniah dan material.6 Kepentingan perancangan strategik terserlah bagaimana Rasulu Llah s.a.w. sendiri tidak terkecuali dalam melakukan kewajipan berikhtiar merencanakan strategi Hijrah dengan sebaik-baiknya.

Suasana Negara Bangsa

Menurut Siddiq Fadhil (1992)7, secara jujur harus diakui di sepanjang abad-abad kejatuhannya hinggalah ke saat ini memang Dunia Islam mengalami masalah kepimpinan. Fenomena ini telah menjebakkan umat dalam suasana yang tidak menentu.

Di negara minoriti Islam, menurut Azmi Abdul Hamid (1997)8 keadaan diskriminasi, eksploitasi, penafian hak, penindasan malah pembunuhan tidak sunyi dilapurkan di muka media. Cukup untuk disenaraikan situasi di Bosnia, Repulik China, India, Myanmar, Filipina, Russia, Amerika Syarikat, U.K dan beberapa negara di benua Afrika, menggambarkan keadaan umat Islam amat mendukacitakan. Manakala di negara-negara majoriti Islam pula, prospek untuk menjadi negara yang kukuh melaksanakan syariat Islam juga tidak menyakinkan. Kewujudan masalah-masalah dalaman dari pelbagai bentuk seperti kemunduran ekonomi, ketidakstabilan politik, kemiskinan, penyakit sosial, kelemahan dalam pendidikan, tahap kesihatan yang rendah, kemudahan asas yang tidak dapat disediakan dengan sempurna, kebergantungan kepada bantuan kewangan luar, pemerintahan kuku besi, partisipasi awam dalam proses membuat keputusan yang rendah, jurang kaya - miskin yang amat meluas.

Impak dominasi barat tidak sahaja dirasai dalam bidang ekonomi malah telah berjaya menerobos langsung di dalam bidang pendidikan, budaya, media, dan juga dalam mempengaruhi persepsi masyarakat Islam terhadap ugama Islam itu sendiri.

Melalui sistem feudal yang autokratik dan diktator di setengah negara, penyertaan masyarakat awam secara konstruktif di kalangan umat Islam sering terhalang. Justeru itu penyertaan yang bermakna dari kalangan rakyat tidak dapat diwujudkan dalam menentukan halatuju, bentuk dan falsafah pembangunan yang hendak diusahakan. Konsep hisbah seperti yang diajar oleh Islam untuk mengamalkan akauntabiliti kepada rakyat sering kali diabai dan diketepikan oleh mereka yang diamanahkan dengan kuasa.

Kini umat Islam sedang menyaksikan bertambahnya bilangan golongan intelektual Muslim yang mempunyai pelbagai bidang pengkhususan. Namun begitu umat Islam juga sedang menyaksikan lahirnya pelbagai cendekiawan dan ilmuan Muslim yang cenderung untuk berjinak-jinak bagi menjustifikasikan keserasian Islam dengan institusi-institusi barat yang liberal dan kapitalis sifatnya.

Keperluan Kepada Gerakan Islam

Penubuhan ABIM dari sudut sejarahnya ialah cetusan rasa kesedaran yang mendalam untuk menjadi jurubicara umat bagi memperjuangkan keadilan dan kebenaran iaitu al-adalah dan al-haq.9 Teras perjuangan yang dipegang ini jelas kenyataan al-Quran , Surah al-A-raf ayat 181;

" Dan di antara orang-orang yang kami ciptakan ada umat yang memberi petunjuk dengan hak dan dengan yang hak itu (pula) mereka menjalankan keadilan. "

 

 

Seterusnya dalam surah al-Maaidah, ayat 8

" Hai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu menjadi orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk tidak berlaku adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan. "

Ketika Rasulullah s.a.w. diminta merumuskan ajaran Islam dalam perjuangan selama 23 tahun, baginda merujuk surah an-Nahl, ayat 90

" Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil dan berbuat kebaikan (ihsan) serta memberi bantuan kepada kaum kerabat. Dia melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman dan pemberontakan. Ia mengajar kamu (dengan suruhan dan larangan-Nya) supaya kamu mengambil peringatan dan mematuhinya. "

ABIM menampilkan manhaj wasatiyyatul Islam iaitu pendekatan penuh kesederhanaan menentang badai ekstremisme. Kita mengungkapkan wawasan ABIM iaitu Membina dan memimpin tamadun Khayra Ummah, sebagai suatu landasan, pengarahan , harapan, peranan dan cita-cita yang berterusan untuk diperjuangkan. Penghayatan Ruhul Jihad Fi Sabilillah di kalangan warga ABIM, budaya yang terpugar ini menjadi faktor pendorong dan pemangkin kepada kelancaran dan kejayaan dalam merealisasikan cita-cita wawasan dan misi besar gerakan.10 Justeru itu perlu diingatkan bahawa sebarang bentuk pernyataan sikap dan pendirian serta tindakan, ABIM adalah gerakan Islam yang meletakkan dakwah dan tarbiyah sebagai teras pendekatannya. Sebarang bentuk penyimpangan daripada prinsip ini akan menjebakkan ABIM ke dalam suatu permainan yang tidak menentu. Apa pun yang kita perjuangkan, ABIM mestilah dilestari untuk kita sama-sama meneruskan amanah kudus dan mulus ini.11

Imam Hasan Al-Banna, menurut Fathi Yakan(1983)12

" Secara umum tugas dan tanggungjawab kita ialah tegak menghadapi arus taghut yang terdiri daripada Tamadun Kebendaan, Kemajuan hawa nafsu, dan kemewahan yang telah merata bangsa-bangsa umat Islam.

Tamadun dan kemajuan kebendaan ini telah menjauhkan umat Islam dari pimpinan Rasulullah saw dan petunjuk al-Quran, menghalang alam sejagat daripada menerima sinar petunjuk al-Quran dan memundurkan kemajuan beratus-ratus tahun ke belakang.

Sebagai sebuah gerakan Islam, gerakan Rabbani ini mesti meliputi seluruh konsep, hukum, akhlak, tata-susila dan pemikirannya adalah bersumberkan kepada agama Allah yang kekal dan risalah terakhir. Justeru itu gerakan Islam adalah satu seruan kepada Allah , bukan seruan untuk kepentingan orang-orang yang bekerja dan memikul gerakan tersebut. Perkara yang menjadi asas kepada gerakan Islam ialah supaya pimpinan dalam gerakan ini terlebih dahulu tunduk kepada syariat Allah sebelum ahli dan pekerja. Gerakan ini tumbuh dan muncul dari realiti masyarakat Islam itu sendiri.

Gerakan Islam menuntut pengabungan diri saudara perlu disertakan dengan ikatan rabbani , iaitu mengetahui bahawa asas kebajikan itu ialah suci hati, bersih jiwa dan baik hubungan dengan Allah. Walaupun bukan parti politik, tetapi soal-soal siasah yang berdasarkan kaedah -kaedah Islam adalah merupakan intipati fikrah yang kita perjuangkan. Kita bukan pertubuhan kebajikan walaupun amal-amal kebajikan dan kerja Islam merupakan tujuan kita yang paling besar. Kita bukan pasukan riadah, sekalipun kegiatan -kegiatan riadah, baik untuk jasad dan roh kita. Tetapi perjuangan kita adalah perjuangan fikrah dan aqidah, satu sistem dan metod yang tidak dibatasi oleh tempat, tidak terikat kepada satu-satu keturunan, tidak dibatasi oleh batas-batas geografi dan tidak akan tamat dengan penyelesaian satu masalah, malah akan berterusan hingga ke hari kiamat".

Justeru itu menurut kita perlu membuat analisis yang mendalam untuk mengukur pencapaian masing-masing dalam menangani masalah umat jika benar-benar mahu mewakili perjuangan umat. Setiap ahli gerakan ini mempunyai tanggungjawab dan amanah besar untuk memperbaiki keadaan umat Islam masa kini.

Allah s.w.t telah menyatakan pembinaan Daulah Islamiah yang utuh mesti dimulai dengan memperkemaskan individu muslim Ar-Rahman 13 iaitu ;

  1. Individu muslim yang berjalan di atas muka bumi dengan perwatakan dan perawakan yang sedar dirinya sebagai hamba Allah (Rendah hati dan tidak sombong),
  2. membuat perhubungan yang baik dengan semua orang termasuk orang-orang yang jahil (terhadap Islam),
  3. Individu yang beribadah pada malam hari (Qiamulail),
  4. Individu yang bersedarhana ketika membelanjakan harta mereka (tidak bakhil dan tidak membazir),
  5. Individu yang tidak melakukan dosa-dosa besar (contohnya menyekutukan Allah swt, membunuh jiwa dan melakukan zina),
  6. Individu yang selalu bertaubat dan beramal soleh,
  7. Individu yang tidak sanggup menjadi saksi yang palsu,
  8. Individu yang menjauhkan dirinya dari melakukan perkara-perkara yang sia-sia (tidak mendatangkan sebarang manfaat),
  9. Individu yang sentiasa peka dan mengambil pelajaran dari ayat-ayat Allah swt dan
  10. Individu muslim yang sentiasa berdoa untuk memperolehi Isteri dan anak yang beriman kepada Allah serta mereka memohon kekuatan untuk menjadi Imam kepada orang-orang yang bertakwa.

 

Justeru itu di samping kita terus memperkemaskan Teras Urusan Gerakan, Teras Dakwah dan Tarbiyah, Teras Penerangan dan Teras Jaringan. Pembinaan Individu Muslim Ar-Rahman perlu dipertingkat dan diperhebat.

Memperkasa Barisan Pimpinan Pelapis

Imam Hasan Al-Bana, menurut Fathi Yakan (1983)14 menyatakan bahawa "adalah menjadi satu hakikat bahawa generasi masa kini tidak akan dapat diperbaiki kecuali melalui sesuatu yang telah dapat memperbaiki generasi yang terdahulu dari umat itu."

Perlu juga kita perhatikan pesan Syaidina Ali r.a. yang menyebut "didiklah generasi bersesuaian dengan zamannya".

Beberapa tempoh yang lepas kita menghadapi masalah untuk menyemarakkan penyertaan golongan muda. Hasil program pendidikan ( sepanjang 1995 - 1997)15 kita perolehi sejumlah golongan muda yang menunjukkan minat untuk bersama-sama gerakan ini. Mereka menuntut hampir di semua IPT awam dan swasta. Beberapa program yang dianjurkan oleh generasi ini (walaupun program-program tersebut banyak kelemahan) sejak 1997 - 2000 (yang terakhir Menara 2000), jumlah ini masih pada tahap yang besar. Kita perlu membuat penyeliaan dan melaksanakan program teratur untuk memperkukuhkan pelapis ini. Sudah banyak peluang kita berikan agar proses kematangan mereka berlaku secara natural, tetapi nampaknya mereka perlu dipimpin.

Respon Terhadap Isu

Kita belum mempunyai mekanisme yang konkrit dan efektif untuk membuat respon sama ada melalui media awam atau saluran-saluran lain. Pelbagai isu-isu nasional, regional dan inter - nasional sudah tidak dapat diikuti oleh anggota gerakan Islam dengan teliti kerana disiplin membaca dan memantau berita-berita dan maklumat -maklumat terkini tidak lagi didisiplinkan di kalangan mereka.

Pendidikan

TASKI adalah "Trade-mark" ABIM yang terserlah dan menjadi "entry-point" kepada masyarakat yang paling berpotensi. Tetapi kita kurang mengurus latihan dan kemahiran yang diperlukan oleh lebih dari 60 orang guru-guru TASKI sejak 1997. Menurut rekod MASUDA16 maklumat anak didih TASKI lebih 1022 pelajar tidak direkodkan dengan baik dan sistematik. Ini juga melibatkan tidak kurang dari 700 Ibubapa anak didik TASKI seluruh Sabah.

Program Komuniti/Program Umum/Program Masyarakat

Rekod yang kita simpan menunjukkan di seluruh negeri , program di atas masih terlalu kecil ( kurang 10 % dari seluruh jenis program yang kita sedang rancang atau sudah laksanakan). Kita perlu ubah suasana ini.

Gerakan Islam tidak seharusnya menjadi elitis, terpisah dan terasing dari massa terbanyak. Menurut Mohd. Azmi Abdul Hamid (1997)17 gerakan yang berjaya ialah gerakan yang mampu menghubungkan dirinya dengan setiap lapisan masyarakat. Gerakan yang menangani setiap sektor dan bidang kehidupan masyarakat. Sudah tiba masanya gerakan Islam menilai dan menyemak seluruh budaya, displin dan stail bekerja dalam masyarakat.

Apapun ideologi dalam perjuangan sesebuah organisasi, jika disiplin yang tinggi dapat dibudayakan di setiap anggotanya kebarangkalian untuk menjadi organisasi yang berjaya dan dihormati akan dapat dicapai. Pada ketika ini dirasakan wujud suatu keadaan di mana anggota-anggota tidak mempunyai kefahaman yang jelas mengenai tanggungjawab dan amanah yang terbeban ke atas mereka apabila meraka bersetuju untuk bersama dalam organsasi. Kebolehharapan (reliability) sesebuah organisasi gerakan Islam juga amat berkait dengan tahap disiplin yang diamalkan.

Pengamatan yang amat jelas dalam meneliti perlakuan dan tabiat mengurus masa dikalangan ahli-ahli yang mengaku dirinya bersama dalam organisasi gerakan Islam ialah sindrom "procrastination" iaitu menunda-nunda dan melengah-lengahkan kerja. Di suatu sudut lagi, disiplin yang memerlukan pengukuhan ialah pengurusaan semua cawangan dan sumber anggota-anggota di setiap cawangan.

 

Peranan Wanita

Barisan Helwa dirasakan mengalami ketandusan penyertaan golongan dari generasi baru didapati di semua daerah operasi. Sesuatu perlu dilakukan secara berkesan.

Peranan Wanita, yang lazim berlaku ialah jentera yang ada menjadi tidak produktif dalam beraksi di gelanggang masyarakat. Pada hakikat Sejarah Islam sarat dengan fakta mengenai penglibatan wanita dalam perjuangan Islam. Pembelaan terhadap Islam yang melibatkan kaum wanita juga terserlah. Namun begitu realiti yang sedang dihadapi masakini menunjukkan keadaan yang amat melemahkan. Bukan sahaja kepimpinan wanita dari kalangan gerakan Islam tidak menonjol malah kehadirannya juga tidak dapat dirasai dengan berkesan oleh masyarakat awam. Dengan yang demikian kelemahan yang amat ketara ini telah diambil kesempatan oleh golongan wanita faham sekular untuk mempengaruhi pendapat umum mengenai pelbagai isu yang menyentuh persoalan wanita secara umumnya dan wanita Islam khususnya.

Menurut Mohd. Azmi Abdul Hamid (1997)18, isu-isu wanita yang sedang dialami oleh masyarakat sekarang merentas pelbagai aspek dan bidang. Iaitu dari aspek pendidikan, kaum wanita perlu mewujudkan saluran yang berkesan agar persoalan pendidikan wanita dalam konteks trend dan kecenderungan moden masakini dapat ditangani dengan berkesan. Pengaruh sekeliling yang banyak mempunyai unsur-unsur barat yang amat merosakkan kini telah mengenengahkan budaya dan gaya hidup moden yang sekular dan hedonistik. Ia telah meletakkan asas pembentukan keperibadian kaum wanita berdasarkan status wanita barat yang mengagungkan kebebasan tanpa batas. Semakin jelas pendidikan yang khusus untuk kaum wanita berasaskan status dan kedudukan wanita dalam Islam semakin tercabar.